TUARAN, 28 Julai 2026 – Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) menggesa PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan berhubung satu hantaran media sosial yang mengandungi dakwaan palsu serta kenyataan mengelirukan berkaitan Sabah.
Pengerusi PAKAS, Keyafatullah Malik Aman memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.
Hantaran menerusi akaun Facebook "Sultan Muedzul-Lail Tan Kiram" itu dikesan membuat dakwaan tidak tepat mengenai operasi penahanan dan penghantaran pulang warga Filipina, selain mendakwa berlaku kematian dalam pusat tahanan di Sabah akibat kesesakan.
Selain itu, kandungan berkenaan turut menggunakan gambar lama dari Penjara Quezon City, Manila yang digunakan di luar konteks. Keyafatullah menegaskan bahawa penyebaran naratif palsu sedemikian berpotensi menjejaskan ketenteraman awam, kedaulatan negara, serta persepsi antarabangsa.
Beliau berharap PDRM, SKMM, KDN, dan Jabatan Imigresen Malaysia dapat meneliti perkara ini dengan tegas, di samping menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang melibatkan isu keselamatan negara.

0 Comments