KOTA KINABALU, 23 Julai – Polis Sabah mempertingkatkan operasi membanteras kegiatan penyambungan paip air secara haram di kawasan setinggan bagi membantu kerajaan negeri menangani isu ketirisan dan kehilangan bekalan air.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan bahawa operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) serta agensi berkaitan itu telah mula dilaksanakan sejak 15 Julai lalu.
Sehingga kini, seramai empat individu membabitkan penduduk tempatan dan pemegang dokumen IMM13 telah ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan di kawasan setinggan.
"Kesemua tangkapan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Air untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Beliau menjelaskan, operasi berkenaan akan diteruskan secara berperingkat dengan tumpuan utama diberi di kawasan setinggan sekitar Alamesra hingga Inanam.
Pihaknya juga menjalankan pemantauan susulan secara berkala bagi memastikan mana-mana sambungan paip yang telah dipotong tidak disambung semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Hari ini kita potong, esok kita akan periksa semula. Jika mereka sambung kembali, kita akan potong lagi. Operasi ini akan berjalan secara berterusan," tegas beliau.
Tambah Jauteh, tindakan tegas itu bukan sahaja bertujuan mengekang ketirisan air, malah untuk membendung pertambahan rumah setinggan haram selepas siasatan mendapati ada individu dikesan memiliki beberapa buah rumah di kawasan itu untuk disewakan kepada orang lain.
Namun begitu, isu penyambungan paip air secara haram ini sebenarnya dilihat tidak akan selesai sekiranya tindakan yang diambil hanya sekadar memotong sambungan atau melakukan pemantauan berkala. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah serta agensi berkuasa berkaitan sepatutnya bertindak lebih tegas terhadap kewujudan penempatan haram itu sendiri, bukannya sekadar merawat simptom di permukaan.
Punca utama kepada masalah ini berakar teras daripada kebanjiran warga asing dan kewujudan kawasan setinggan tanpa kawalan. Selagi penempatan haram ini terus dibiarkan bermaharajalela tanpa tindakan roboh atau pembersihan secara menyeluruh hingga ke akar umbi, selagi itulah isu kecurian air dan ketirisan bekalan ini akan terus berulang.

0 Comments