BEAUFORT, 24 Julai 2026 – Pihak Polis Daerah Beaufort berjaya menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan jenayah yang berlaku di Kampung Kilugus, Menumbok, baru-baru ini.
Suspek disyaki bertindak mengugut ahli keluarganya sendiri dengan menggunakan beberapa objek berbahaya sehingga menimbulkan rasa takut dan bimbang terhadap keselamatan mangsa serta ahli keluarga yang lain.
Bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Menumbok telah digerakkan dan berjaya menangkap suspek untuk siasatan lanjut. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, dan permohonan reman akan dibuat bagi melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Penyalahgunaan dadah, khususnya syabu, amat berbahaya kerana ia boleh menjejaskan tingkah laku seseorang sehingga bertindak agresif, hilang pertimbangan, serta tergamak mengugut mahupun mencederakan orang sekeliling termasuk ahli keluarga sendiri. Kes seperti ini menjadi peringatan jelas akan kesan buruk najis dadah terhadap masyarakat dan institusi kekeluargaan.
Masyarakat diseru untuk sentiasa menjauhi penyalahgunaan dadah dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing demi memastikan keselamatan bersama sentiasa terpelihara.

0 Comments