PENAMPANG - Memandu Di Bawah Pengaruh Alkohol: Dua Lelaki Ditahan Dalam Op Mabuk Penampang


 PENAMPANG, 19 Julai – Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Jalan Bundusan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 30-an ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas didapati memandu melebihi had alkohol yang dibenarkan.

Menurut beliau, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun.

Operasi berkenaan diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Penampang, Inspektor Rozami Hj Ahmad, bersama sepasukan pegawai dan anggota trafik.

Sepanjang operasi itu, polis memeriksa 62 individu melibatkan 58 kenderaan, selain mengeluarkan enam saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Tindakan tegas dan konsisten yang dilaksanakan IPD Penampang wajar diberi penghargaan kerana mencerminkan komitmen berterusan pasukan polis dalam membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

Sammy berkata, operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan bagi mengesan dan membendung pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol kerana perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengundang kemalangan serta mengancam nyawa diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Syabas kepada IPD Penampang dan seluruh warga BSPT yang terus komited menjalankan penguatkuasaan secara berterusan demi memastikan jalan raya di daerah ini lebih selamat untuk semua.

Sumber: Polis Daerah Penampang.

Comments

Popular posts from this blog

OPERASI PEROBOHAN: "Rumah Kebal" di Likas Square Akhirnya Dirobohkan

PENAMPANG - Polis Tahan 5 Remaja Terbabit Kes Khianat Pondok Ibadat di Kg Duvanson Penampang

KOTA KINABALU - ​"Tindakan Tegas JIM Sabah: 62 PATI Dicekup dalam Operasi Bersepadu di Tiga Daerah"