TAWAU, 27 Julai 2026 – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau secara rasmi mengisytiharkan penamatan bencana banjir di daerah ini berkuat kuasa jam 2 petang hari ini.
Susulan pengisytiharan tersebut, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau turut ditutup sepenuhnya selepas situasi banjir di kawasan terjejas pulih sepenuhnya.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi Laporan Semasa Kejadian Bencana Banjir mengesahkan kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Kemas kini rasmi turut mengesahkan tiada lagi PPS yang beroperasi di daerah Tawau, sekali gus menandakan operasi pengurusan bencana di daerah ini ditamatkan.
Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada pelbagai agensi di bawah JPBD serta pasukan keselamatan dan penyelamat atas keprihatinan, komitmen, dan kerja keras sepanjang operasi pengurusan bencana ini. Walaupun keadaan telah pulih, penduduk setempat dinasihatkan supaya kekal berwaspada dengan perubahan cuaca dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

0 Comments