KOTA KINABALU, 24 Julai 2026 – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi Jabatan Penguatkuasaan terus membuktikan komitmen menangani isu pencerobohan tanah kerajaan apabila berjaya merobohkan 166 buah struktur setinggan haram di kawasan bersebelahan Kampung Bandulan, di sini.
Operasi bersepadu berkenaan melibatkan kekuatan 46 orang anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity serta Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (BKKP).
Sebelum operasi fizikal dijalankan, Bahagian Perobohan dan Struktur Haram DBKK telah melaksanakan bancian mendalam pada 11 dan 12 Jun lalu. Kesemua 166 buah rumah yang dibina tanpa kebenaran telah diserahkan Notis Pengosongan, Pengalihan dan Perobohan bagi membolehkan penghuni mengosongkan kawasan berkenaan.
Tindakan perobohan secara berperingkat yang dijalankan pada 16 dan 17 Julai lalu menyaksikan kesemua struktur haram tersebut berjaya dimusnahkan sepenuhnya tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Pihak DBKK menegaskan pemantauan berkala dan tindakan susulan akan diteruskan secara konsisten di tapak berkenaan bagi memastikan tiada lagi binaan haram baharu didirikan, sekali gus memelihara kawasan perbandaran agar kekal teratur dan selamat.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga DBKK atas ketegasan serta kejayaan operasi ini. Langkah pemantauan dan tindakan penguatkuasaan sebegini wajar diteruskan secara berterusan. Pada masa sama, penguatkuasaan terhadap isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) juga perlu diperketat bagi membanteras punca utama kewujudan penempatan haram daripada terus berulang.

0 Comments