BEAUFORT, 22 Julai – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 13, Jalan Beaufort–Papar, berhampiran Kampung Lambunau, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.10 pagi.
Menurut beliau, kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux dan Proton Saga yang dipercayai bertembung dari arah bertentangan.
"Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Hilux berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala pemandu Proton Saga berusia 53 tahun mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, termasuk rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau CCTV, supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Shazree bin Hashim di talian 010-2531451 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih di media sosial sehingga siasatan selesai.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat, mematuhi undang-undang lalu lintas serta memastikan diri dan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengurangkan risiko kemalangan dan menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.

0 Comments