Hot Posts

6/recent/ticker-posts

SANDAKAN - 43 Sambungan Paip Air Haram Dipotong Dalam Operasi Bersepadu JAS

 


SANDAKAN, 28 Julai 2026 – Sebanyak 43 sambungan paip air haram dikesan dan dipotong dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Air Sabah (JAS) di dua kawasan setinggan di Kampung Mangkalinau, Batu 3, kelmarin.

Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan turut ditahan bersama dua unit pam air yang dipercayai digunakan bagi menjalankan penyambungan bekalan air secara haram.

Menurut JAS, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 49(b) Enakmen Bekalan Air Sabah 2003, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000, penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Operasi yang berlangsung dari jam 7.00 pagi hingga 3.00 petang itu melibatkan seramai 89 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Sabah Electricity dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

Operasi bersepadu tersebut dilaksanakan bagi membanteras kegiatan penyambungan bekalan air secara haram yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan bekalan air kepada pengguna lain serta mengakibatkan kerugian kepada kerajaan.

Penyambungan paip air secara haram sering dikaitkan dengan penempatan haram yang dibina tanpa kebenaran. Justeru, operasi bersepadu seperti ini wajar diteruskan secara berkala bagi membendung kegiatan penyambungan utiliti secara haram. Pada masa sama, pihak berkuasa juga perlu terus mempergiat usaha penguatkuasaan terhadap penempatan haram serta pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terlibat. Bagi penduduk tempatan pula, permohonan penyambungan bekalan air hendaklah dibuat melalui saluran yang sah dan mengikut prosedur yang ditetapkan, bukannya mengambil jalan pintas dengan membuat sambungan haram. Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan bekalan air dapat dinikmati secara adil, selamat dan mengikut undang-undang.

Post a Comment

0 Comments