Hot Posts

6/recent/ticker-posts

PAPAR - Projek naik taraf Jalan Lok Kawi-SMK Kinarut bernilai RM70.6 juta bermula bagi atasi kesesakan

 

PAPAR, 28 Julai 2026 – Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bernilai RM70.6 juta kini bermula rasmi berikutan Majlis Pecah Tanah yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini.

​Projek di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) ini dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan di laluan berkenaan yang kini menampung sekitar 27,000 kenderaan sehari dengan Tahap Perkhidmatan Jalan (Level of Service - LOS) berada pada Tahap F.

​Kerja-kerja penaiktarafan merangkumi peluasan jalan sepanjang 1.3 kilometer daripada laluan dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong dua hala mengikut piawaian JKR U5. Skop utama turut melibatkan penukaran tiga persimpangan bulatan kepada persimpangan berlampu isyarat, pembinaan jejantas pejalan kaki berserta laluan berbumbung ke sekolah, tiga hentian bas, dua tempat perlindungan penunggang motosikal, pemasangan lampu jalan serta penyediaan sistem perparitan baharu.

Selain melancarkan aliran trafik dan mempertingkatkan keselamatan pengguna, pelaksanaan projek ini dijangka merancakkan pertumbuhan sosioekonomi di koridor Lok Kawi–Pengalat–Papar menerusi akses yang lebih baik ke kawasan perniagaan, perindustrian, dan pelancongan.

​Pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) mengharapkan kerjasama erat Kerajaan Negeri Sabah dan semua agensi berkaitan dalam mempercepatkan proses pengambilan tanah serta pengalihan utiliti, di samping menggesa kontraktor yang dilantik agar melaksanakan projek mengikut spesifikasi dan tempoh yang ditetapkan.

Post a Comment

0 Comments