TAWAU, 28 Julai 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing selepas didapati memiliki dadah disyaki syabu dalam dua serbuan berasingan di daerah ini, semalam.
Serbuan pertama dijalankan menerusi Op Tapis kira-kira jam 2.20 petang di Kampung Tanjung Batu Keramat, membawa kepada penahanan seorang penganggur tempatan berusia 32 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan, suspek menyerahkan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki syabu seberat 0.35 gram kepada pihak polis.
Sementara itu, serbuan kedua di kawasan koridor Flat Sabindo kira-kira jam 2.45 petang membawa kepada penahanan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 30-an bersama satu paket syabu seberat 0.20 gram.
Ujian saringan awal air kencing mengesahkan kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes membabitkan 0.55 gram syabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Pihak polis menegaskan akan terus memperhebat operasi pembanterasan dadah serta menyeru orang ramai supaya sentiasa menyalurkan maklumat bagi membantu menangani gejala berkenaan.
Usaha berterusan pihak polis dalam menggempur aktiviti penyalahgunaan dadah di segenap kawasan amat wajar disokong. Kerjasama dan kepekaan masyarakat setempat amat penting bagi memastikan komuniti kekal selamat dan bebas daripada ancaman najis dadah.

0 Comments