SEMPORNA, 26 Julai 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna berjaya menahan seorang lelaki serta merampas dadah disyaki syabu seberat 5.34 gram dalam pelaksanaan Op Tapis di tepi jalan Kampung Bangau-Bangau.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah memaklumkan bahawa penahanan itu dilakukan kira-kira jam 10.30 malam semalam (25 Julai) oleh sepasukan anggota BSJND yang menjalankan rondaan pencegahan jenayah di kawasan berkenaan.
Hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 52 tahun itu membawa kepada penemuan bahan disyaki dadah jenis syabu (Methamphetamine) dengan anggaran berat kasar 5.34 gram sebelum lelaki berkenaan dibawa ke Pejabat BSJND IPD Semporna untuk tindakan lanjut.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Pihak polis menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah serta menggesa orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat demi keselamatan komuniti setempat.
Ketegasan dan tindakan berterusan IPD Semporna dalam menggempur aktiviti pengedaran dadah wajar dipuji. Kerjasama erat masyarakat sebagai 'mata dan telinga' pihak berkuasa amat penting bagi memastikan kawasan persekitaran kekal selamat dan bebas daripada ancaman najis dadah.

0 Comments