Hot Posts

6/recent/ticker-posts

SANDAKAN - Penjaja Tanpa Lesen Diserbu, Barangan Bernilai RM6,800 Disita

 


SANDAKAN, 31 Julai 2026 – Operasi Bersepadu anjuran Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang dijalankan di sekitar pusat bandar Sandakan pada 29 Julai lalu menyaksikan pelbagai barangan disita serta tindakan kompaun dikenakan terhadap peniaga yang didapati melanggar peraturan.

Operasi yang bermula pada jam 8 pagi itu melibatkan kerjasama enam agensi iaitu ESSCOM, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan RTM.

Dalam operasi berkenaan, Jabatan Penguatkuasaan MPS telah menyita pelbagai barangan milik penjaja yang didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen atau permit di hadapan premis serta di laluan pejalan kaki.

Antara barangan yang disita termasuk lima unit alat permainan kanak-kanak, pelbagai peralatan telekomunikasi dan elektronik, selain barangan kelengkapan diri seperti tali pinggang, sikat rambut, getah rambut dan pin baju. Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan sekitar RM6,800.

Selain sitaan, MPS turut mengeluarkan satu kompaun bernilai RM300 terhadap sebuah premis perniagaan, Restoran Insaf Medina, kerana didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah mengikut Trades Licensing Ordinance (Sabah Cap. 144).

Operasi tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

Penguatkuasaan secara berkala seperti ini penting bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan. Peniaga juga disaran mendapatkan lesen atau permit yang sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan, sekali gus membantu mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teratur dan selamat.

Post a Comment

0 Comments