Hot Posts

6/recent/ticker-posts

SABAH - 44 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi Penguatkuasaan JIM


SABAH, 30 Julai 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan 44 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen menerusi beberapa operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di Kota Kinabalu, Tawau dan Keningau.

Di Kota Kinabalu, Ops Ajar dan Ops Gegar memeriksa seramai 13 individu, dengan empat warga asing ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63. Tangkapan melibatkan seorang lelaki warga Itali dan tiga wanita warga China.

Sementara itu di Tawau, Ops Selera dan Ops Sapu memeriksa 97 individu, sebelum menahan 34 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen. Mereka terdiri daripada 14 warga Filipina iaitu 13 lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa, serta 20 warga Indonesia membabitkan 11 lelaki dewasa, lima wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

Di Keningau pula, Ops Jaja dan Ops Kutip memeriksa 69 individu, dengan enam warga asing ditahan atas kesalahan sama. Tangkapan melibatkan empat warga Filipina iaitu dua lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan, selain dua wanita warga Indonesia.

Kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas yang diberikan.

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.

Operasi seperti ini perlu diteruskan secara konsisten bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi oleh semua pihak. Dalam masa sama, tindakan tegas juga wajar dikenakan terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati melindungi, menggaji atau membantu warga asing tanpa dokumen yang sah. Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa juga amat penting bagi membantu usaha membanteras kehadiran PATI serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah.

Post a Comment

0 Comments