![]() |
RANAU, 31 Julai 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau berjaya membanteras kegiatan penjualan ketum selepas menahan seorang lelaki tempatan di sebuah kampung di daerah ini, malam semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 11.00 malam itu, suspek berusia 42 tahun ditahan bersama tiga botol mineral mengandungi 1.5 liter cecair disyaki air ketum yang dijumpai di dalam sebuah periuk.
Turut disita dalam operasi berkenaan ialah sebuah tong gas berwarna hijau serta satu dapur memasak yang dipercayai digunakan suspek untuk memproses air ketum berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Supt. Mursalin bin Mahmud menegaskan pihak polis akan terus mempergiatkan operasi membanteras aktiviti haram ini demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Pihak polis turut mengingatkan bahawa keselamatan adalah tanggungjawab bersama, dan kerjasama erat antara PDRM serta komuniti amat penting bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan aman.

0 Comments