Hot Posts

6/recent/ticker-posts

KOTA KINABALU - Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Kerana Menghina Mahkamah



 KOTA KINABALU, 29 Julai 2026 – Mahkamah Seksyen Papar menjatuhkan hukuman penjara lima minggu terhadap Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, selepas didapati bersalah atas kesalahan menghina mahkamah berhubung kenyataannya mengenai inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Bagaimanapun, Hakim Amir Shah Amir Hassan membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan Shafie di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Ahli Parlimen Semporna itu melampaui keraguan munasabah sebelum mensabitkannya mengikut Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam minggu dan denda maksimum RM300, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P. Kunyalam dan Nadia Izhar, manakala Shafie diwakili peguam Jakariya Ab Jalil serta Chen Ket Chuin.

Kes itu berpunca daripada ucapan Shafie pada satu majlis di Kinabatangan pada 20 September 2025, apabila beliau dilaporkan menyifatkan kematian Zara Qairina Mahathir sebagai "pembunuhan" serta mempersoalkan tindakan pihak berkuasa ketika inkues kematian remaja berkenaan masih berlangsung di mahkamah.

Pada 23 Oktober 2025, Peguam Negara memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Shafie.

Untuk rekod, Zara Qairina Mahathir, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar. Inkues bagi menentukan punca kematiannya masih berjalan.

Post a Comment

0 Comments