TAMPARULI - Warga emas 57 tahun dihempap pokok parah

 

Sumber:JBPM Sabah


TUARAN – Seorang lelaki berusia 57 tahun mengalami kecederaan parah di kepala selepas dihempap sebatang pokok tumbang ketika menjalankan kerja-kerja menebang di Jalan Perumahan Kionsom Baru, Tamparuli, petang tadi.

​Ketua Balai Bomba dan Penyelamat BBP Tuaran, Kurong anak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada jam 4.10 petang.

​Bertindak atas maklumat, seramai tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS telah dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 23 kilometer dari balai.

​Menurut Kurong, setibanya pasukan penyelamat di lokasi pada jam 4.30 petang, mereka mendapati mangsa berada kira-kira 700 meter dari jalan raya utama akibat kecederaan parah yang dialaminya.

​Anggota bomba bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa di tempat kejadian sebelum membawanya keluar menggunakan pengusung. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia KKM dan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut.

​Susulan insiden berkenaan, pihak berkuasa menasihati orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti berisiko tinggi. Masyarakat turut diingatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku tanpa mengira di mana jua mereka berada.

Comments