![]() |
| Sumber:Facebook |
TAWAU – Tindakan melulu dua wanita bergaduh sehingga merosakkan harta benda sebuah restoran di Bandar Fajar, di sini, membawa padah apabila kedua-duanya dicekup pihak polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, suspek yang berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, susulan laporan yang dibuat oleh wakil premis berkenaan.
Menurut beliau, insiden dipercayai tercetus apabila kedua-dua pelanggan wanita terbabit mula bertengkar sebelum tindakan itu melarat sehingga menyebabkan kerosakan beberapa harta benda di dalam restoran. Bagaimanapun, punca sebenar pergaduhan tersebut masih dalam siasatan lanjut.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada BSJ IPD Tawau berjaya mengesan dan menahan kedua-dua suspek di tepi Jalan Haji Karim, Tawau kerana disyaki terlibat secara langsung dalam kejadian itu.
"Hasil pemeriksaan dokumentasi mendapati seorang daripada suspek merupakan warga asing yang berada di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah. Semakan lanjut juga mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Susulan kejadian itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa menjaga segala tingkah laku supaya tidak menyebabkan kerosakan harta benda orang lain.
Beliau menambah, kes kini disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi suspek warga asing.

Comments
Post a Comment