Sabah Terima RM600 Juta Bayaran Interim, Mohon Baki RM900 Juta Disalur Tahun Ini
![]() |
| Gambar hiasan |
KOTA KINABALU, 20 Julai – Kerajaan Sabah mengesahkan telah menerima bayaran interim Pemberian Khas berjumlah RM600 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada 12 Jun lalu, susulan peningkatan bayaran interim kepada RM1.5 bilion bagi tahun 2026.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Mohd Ishak Ayub, berkata kerajaan negeri turut memohon agar baki RM900 juta lagi disalurkan dalam tahun ini bagi melengkapkan jumlah bayaran interim yang diumumkan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menurutnya, peningkatan bayaran interim itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 pada 30 Mei lalu, selain beberapa siri perbincangan dan surat-menyurat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah.
Mohd Ishak menegaskan bahawa persetujuan terhadap bayaran interim sebanyak RM1.5 bilion hanyalah penyelesaian sementara dan tidak menjejaskan hak Sabah untuk menuntut amaun sebenar seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Sabah kekal berpendirian formula 40 peratus perlu dilaksanakan sepenuhnya bagi menentukan amaun muktamad Pemberian Khas. Sekiranya rundingan gagal mencapai persetujuan, kerajaan negeri berpandangan pelantikan penaksir bebas seperti diperuntukkan di bawah Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan wajar dilaksanakan.
Pada pandangan kami, rakyat Sabah sudah sekian lama menantikan penyelesaian tuntutan MA63. Justeru, setiap perbelanjaan awam sewajarnya diutamakan kepada perkara yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukannya menghabiskan puluhan juta ringgit untuk perkara yang dianggap tidak membawa faedah. Rakyat pastinya mengharapkan hak Sabah dapat terus diperjuangkan dan ditunaikan dengan sebaiknya.

Comments
Post a Comment