PENAMPANG - Pejalan Kaki Maut Dirempuh Pacuan Empat Roda Jalan Bundusan


 PENAMPANG, 21 Julai – Seorang pejalan kaki warga tempatan berusia 77 tahun maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di daerah ini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah pacuan empat roda yang dipandu lelaki tempatan berusia 52 tahun dari arah Jalan Bundusan menuju ke Taman Adamas dipercayai melanggar mangsa yang sedang berjalan di kawasan berkenaan.

Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke dalam longkang di bahu jalan dan mengalami kecederaan parah.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta sentiasa memandu dengan berhati-hati bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133 bagi membantu siasatan.

Kejadian seperti ini menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan, terutama di kawasan yang sering dilalui pejalan kaki. Sikap berhati-hati serta saling menghormati antara pemandu dan pejalan kaki amat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa.

Comments

Popular posts from this blog

OPERASI PEROBOHAN: "Rumah Kebal" di Likas Square Akhirnya Dirobohkan

PENAMPANG - Polis Tahan 5 Remaja Terbabit Kes Khianat Pondok Ibadat di Kg Duvanson Penampang

PENAMPANG - Memandu Di Bawah Pengaruh Alkohol: Dua Lelaki Ditahan Dalam Op Mabuk Penampang