Dua Kanak-Kanak Lemas Ketika Mandi di Kolam Terbiar di Sandakan
SANDAKAN, 20 Julai – Dua kanak-kanak lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi di sebuah kolam terbiar di Jalan Sungai Manila, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.01 petang sebelum sepasukan lima anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba pada jam 6.36 petang, kedua-dua mangsa telah berjaya dibawa keluar oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Pemeriksaan oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mangsa ke lokasi yang selamat sebelum mayat diserahkan kepada KKM dan seterusnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Mangsa pertama dikenal pasti sebagai Mohd Ikmal, berusia 9 tahun, manakala identiti seorang lagi mangsa yang berusia 11 tahun masih belum diperoleh. Kedua-dua mangsa merupakan warga tempatan.
Operasi yang diketuai PBK I Rosemedian Majid itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.08 malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi sebarang bahaya di kawasan berkenaan.
Insiden ini mengingatkan kita bahawa keselamatan kanak-kanak perlu sentiasa menjadi keutamaan. Ibu bapa dan penjaga disaran agar sentiasa memantau aktiviti anak-anak, terutama ketika bermain atau mandi di kawasan berisiko seperti sungai, lombong, kolam terbiar dan kawasan rekreasi yang tidak dipantau. Kesedaran serta langkah pencegahan awal amat penting bagi mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang.

Comments
Post a Comment