Vape jadi medium dadah sintetik, ancaman baharu kepada pengguna

 


SHAH ALAM — Dalam laporan pada 11 Julai lalu, cecair vape yang dicampur ganja sintetik dikenal pasti boleh menyebabkan kesan buruk terhadap kesihatan mental pengguna termasuk kerosakan neuropsikologi dan halusinasi ekstrem.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, bahan tersebut bukanlah ‘magic mushroom’ seperti yang didakwa sebelum ini, sebaliknya merupakan kanabis buatan (synthetic cannabinoid) berdasarkan hasil kajian Jabatan Kimia terhadap sampel yang diterima.

Menurut beliau, penyalahgunaan ganja sintetik melalui vape lebih membimbangkan kerana dos bahan kimia yang tidak terkawal serta penyerapan wap yang pantas ke otak boleh memberi kesan kepada sistem saraf pusat.

“Dadah dalam cecair vape merupakan dadah sintetik daripada kelas kanabis buatan. Ia boleh menyebabkan individu mengalami psikosis, sawan, tingkah laku ganas, kekeliruan dan hilang kesedaran,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket pengedaran dadah kini semakin berubah apabila ada yang menggunakan kondominium mewah sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Ruslin turut mendedahkan kewujudan cecair vape yang dicampur bahan berbahaya seperti fentanyl termasuk variannya, yang diedarkan melalui rangkaian tertutup.

Menurutnya, pengguna kini semakin terdedah kepada bahan khayal baharu atau New Psychoactive Substances (NPS) yang direka secara kimia dan boleh menyebabkan ketagihan serta kerosakan mental yang lebih cepat.

Berdasarkan rekod AADK, seramai 91 individu yang terlibat dengan penyalahgunaan ganja sintetik menerima atau pernah menerima rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dari tahun 2025 hingga Mac tahun ini.

Jumlah itu melibatkan 30 klien pada tahun 2025 dan 61 klien sehingga Mac tahun ini, termasuk kes yang direkodkan di PUSPEN (Sukarela) Papar, Sabah.

Ruslin berkata, kawalan lebih ketat terhadap kandungan cecair vape perlu dilaksanakan bagi mengelakkan masyarakat terdedah kepada bahaya dadah sintetik.

Beliau turut menegaskan usaha pencegahan perlu diperkukuhkan melalui pendidikan di sekolah, komuniti dan keluarga.

Produk vape atau barangan berkaitan seharusnya mempunyai penyeliaan yang tinggi daripada pihak berkuasa agar bahan terlarang ini tidak mudah masuk ke dalam pasaran Malaysia. Kawalan yang lebih ketat amat penting bagi memastikan keselamatan pengguna serta membendung penyalahgunaan bahan sintetik melalui peranti elektronik tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

OPERASI PEROBOHAN: "Rumah Kebal" di Likas Square Akhirnya Dirobohkan

KOTA KINABALU - ​"Tindakan Tegas JIM Sabah: 62 PATI Dicekup dalam Operasi Bersepadu di Tiga Daerah"

Kes Kecurian Elektrik di Sandakan: Individu Didenda RM194,000 Akibat Penyambungan Haram