TAWAU - warga emas 66 tahun ditahan, disyaki rogol gadis oku
TAWAU: Seorang warga emas berusia 66 tahun ditahan pihak polis selepas disyaki terlibat dalam kes rogol membabitkan seorang gadis orang kurang upaya (OKU) yang menghidap ADHD di daerah ini, kelmarin.
Suspek yang merupakan warga tempatan itu berjaya diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Ranggu, Batu 10, Jalan Apas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt memaklumkan, kejadian itu terbongkar selepas penjaga (pengadu) dimaklumkan oleh anak angkatnya bahawa mangsa sedang mengalami kesakitan pada anggota badan.
Susulan itu, mangsa segera dibawa ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan perubatan oleh pihak doktor kemudiannya mendapati mangsa dipercayai telah dirogol.
Bertindak atas laporan dan maklumat siasatan, pihak polis melancarkan operasi serta-merta dan berjaya menahan suspek di lokasi serbuan. Selain penahanan tersebut, polis turut merampas beberapa barangan peribadi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes, antaranya sehelai T-shirt berkolar, sehelai seluar jeans dan topi.
Kes kini sedang disiasat dengan teliti di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pada itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan. Orang awam juga digesa untuk menghormati privasi mangsa serta seluruh ahli keluarganya demi menjaga sensitiviti semua pihak yang terlibat.

Comments
Post a Comment