TAWAU - Padah Miliki Syabu, Dua Lelaki Ditahan Polis Tawau dalam Dua Serbuan Berasingan

 


TAWAU: Dua lelaki, termasuk seorang warga asing, berjaya diberkas oleh pihak polis selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu dalam dua serbuan berasingan menerusi 'Ops Tapis' yang dilancarkan di daerah ini, awal pagi tadi.

​Operasi terbabit yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau turut menyaksikan rampasan dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan berat keseluruhan 0.12 gram.

​Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt memaklumkan bahawa serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 12.20 tengah malam di sebuah kediaman di Kampung Serudung Baru, Batu 18, Jalan Apas. Tindakan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun.

​"Semasa pemeriksaan dijalankan, suspek bertindak menyerahkan sendiri satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 0.03 gram kepada anggota bertugas.

​"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai beberapa kesalahan berkaitan jenayah serta dadah sebelum ini," jelas beliau.

​Mengulas lanjut, Wilynton berkata serbuan kedua dilaksanakan kira-kira sejam kemudian oleh sepasukan anggota BSJND di sebuah rumah di Kampung Iban Kuala Nansang, Jalan Apas. Dalam serbuan itu, seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an telah ditahan.

​"Hasil penggeledahan di premis berkenaan menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki syabu seberat 0.09 gram. Suspek juga didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine melalui ujian saringan air kencing," katanya.

​Kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Pihak polis juga sedang giat menjalankan risikan bagi mengesan rangkaian pembekal serta individu lain yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini.

​Pihak polis menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan digesa untuk menyalurkannya kepada pihak polis agar tindakan tegas dan segera dapat diambil demi kesejahteraan komuniti.

Comments

Popular posts from this blog

OPERASI PEROBOHAN: "Rumah Kebal" di Likas Square Akhirnya Dirobohkan

PENAMPANG - Polis Tahan 5 Remaja Terbabit Kes Khianat Pondok Ibadat di Kg Duvanson Penampang

KOTA KINABALU - ​"Tindakan Tegas JIM Sabah: 62 PATI Dicekup dalam Operasi Bersepadu di Tiga Daerah"