Sindiket Rasuah Pas Imigresen Tumpas: 10 Penguat Kuasa Antara 33 Individu Ditahan SPRM, Kantoi Simpan Duit Dalam Almari
![]() |
| Sumber:Facebook |
PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan satu sindiket rasuah dan pelanggaran Akta Imigresen berskala besar membabitkan kemasukan serta pengurusan warga asing yang dikesan aktif sejak tahun 2021.
Dalam operasi bersepadu yang dijalankan pada 9 Julai lepas, seramai 33 individu termasuk 10 pegawai penguat kuasa telah ditahan antara pukul 10 pagi hingga 8 malam ketika hadir memberi keterangan di empat pejabat SPRM di Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, dan Melaka.
Selain pegawai penguat kuasa, tangkapan tersebut turut melibatkan penjawat awam, orang awam, dan warga asing yang terdiri daripada 25 lelaki dan sembilan wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 50-an.
Operasi besar-besaran ini digerakkan melalui Bahagian Perisikan dan SPRM Negeri menerusi beberapa siri operasi khas iaitu Op Layer (Putrajaya), Op Dalang (Selangor), Op Raider (Negeri Sembilan), dan Op Genuine (Melaka).
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen seperti melindungi warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tujuan bekerja.
"Bagi 10 pegawai penguat kuasa yang ditahan, mereka dipercayai menerima wang rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas pekerja syarikat yang melanggar peraturan. Mereka juga disyaki mengeluarkan visa, pas, dan permit tanpa melalui prosedur rasmi yang ditetapkan.
"Selain itu, terdapat juga kesalahan mengemukakan dokumen yang mengandungi butir palsu bagi tujuan permohonan dan mendapatkan kuota pekerja asing," katanya.
Lebih mengejutkan, siasatan turut membongkar tindakan suspek yang terlibat dalam sindiket ini yang dipercayai bertindak menyimpan sejumlah wang tunai hasil aktiviti haram tersebut di dalam almari bagi mengaburkan mata pihak berkuasa.
Risikan yang dijalankan sejak Jun tahun lalu itu pada asalnya menyasarkan seramai 43 individu di keempat-empat negeri tersebut. Walaupun seramai 38 individu ditahan sepanjang operasi, lima daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan kesemua penahanan tersebut dan menyatakan bahawa kes kini disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A), 17(a), 17(b), dan 18 Akta SPRM 2009. Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi siri tangkapan susulan selepas ini.
Susulan penahanan tersebut, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret di negeri masing-masing dan dikenakan perintah reman, di mana tempoh reman bagi sebahagian suspek adalah sehingga 12 Julai esok bagi membantu siasatan lanjut pihak berkuasa.

Comments
Post a Comment