LABUAN - Imigresen tahan 26 PATI, majikan turut berdepan tindakan

 

Sumber:JIM WP Labuan

LABUAN — Dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada 17 Julai lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menahan seramai 26 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menerusi Op Mega di dua kawasan penempatan sekitar Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut kenyataan media JIM Labuan, kesemua PATI terbabit disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Operasi itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sepanjang operasi, seramai 51 individu telah diperiksa membabitkan 23 warganegara Malaysia dan 28 warga asing. Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 18 warga Indonesia dan lapan warga Filipina yang disyaki melakukan kesalahan imigresen.

Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Labuan bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

JIM memaklumkan operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan memindahkan warga asing yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam masa sama, tindakan turut akan dikenakan terhadap majikan atau pemilik premis yang didapati menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas kerja yang sah di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000, atau dipenjarakan sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil bekerja.

Syabas kepada Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan atas usaha berterusan dalam membanteras PATI. Operasi seperti ini wajar diteruskan secara konsisten bagi membendung kemasukan warga asing tanpa dokumen yang sah ke negara ini.

Comments

Popular posts from this blog

OPERASI PEROBOHAN: "Rumah Kebal" di Likas Square Akhirnya Dirobohkan

PENAMPANG - Polis Tahan 5 Remaja Terbabit Kes Khianat Pondok Ibadat di Kg Duvanson Penampang

KOTA KINABALU - ​"Tindakan Tegas JIM Sabah: 62 PATI Dicekup dalam Operasi Bersepadu di Tiga Daerah"