Detik Cemas: 6 Rumah Musnah Terbakar di Kampung Talantang

Sumber:JBPM SABAH


KOTA MARUDU, 10 Julai – Sebanyak enam buah rumah dan empat buah motosikal musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Talantang, Jalan Damai, awal pagi tadi.

​Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan bahawa panggilan kecemasan telah diterima pada jam 2.19 pagi. Susulan itu, seramai 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu telah dikerahkan ke lokasi untuk memulakan operasi pemadaman.

​Hasil pemeriksaan mendapati lima daripada enam rumah yang terlibat mengalami kemusnahan di antara 90 hingga 100 peratus, manakala sebuah lagi hanya mengalami kerosakan kecil. Selain struktur bangunan, empat buah motosikal turut dilaporkan musnah dalam insiden tersebut.

​Pasukan bomba berjaya mengawal api pada jam 3.17 pagi dengan menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dan tiga pancutan air yang diperoleh daripada jentera bomba serta parit berhampiran. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.33 pagi setelah pemeriksaan akhir memastikan lokasi kejadian benar-benar selamat.

​Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Harapan Kita

Musibah yang berlaku ini sememangnya amat menyedihkan bagi penduduk setempat. Semoga semua mangsa yang terjejas mendapat bantuan sewajarnya daripada pihak berwajib atau mana-mana badan kerajaan mahupun bukan kerajaan (NGO) bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi detik sukar ini. Sama-samalah kita mendoakan agar urusan mereka sekeluarga dipermudahkan.


Comments