BEAUFORT - Lelaki Maut Dipercayai Terjatuh Bangunan Di Cerah Commercial Centre
BEAUFORT, 15 Julai 2026 — Pihak polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes seorang lelaki tempatan yang ditemukan meninggal dunia, dipercayai akibat terjatuh dari sebuah bangunan di Cerah Commercial Centre, di sini semalam.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia 23 tahun ditemukan tidak bernyawa di kawasan parkir bawah bangunan berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Beaufort.
Susulan maklumat yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort telah menggerakkan tindakan segera termasuk melakukan pemeriksaan di tempat kejadian, mendapatkan rakaman percakapan daripada ahli keluarga mangsa, serta menjalankan siasatan forensik bagi membantu kes.
Setakat ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara pihak polis meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut berlaku.
Masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa. Pihak polis turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk segera menghubungi IPD Beaufort bagi membantu siasatan.
Kami di sini ingin merakamkan ucapan salam takziah yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga serta rakan-rakan mendiang atas pemergian ini. Semoga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.

Comments
Post a Comment